Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu: Dilihat Dari Sudut Pandang Sains Matematik

Oleh

Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir

Felo Tamu, ATMA, UKM dan Penyelidik Bersekutu, INSPEM, UPM

 

Abstrak

Kami merasakan bahawa perbahasan berkenaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidaklah mencapai matlamat yang sepatutnya. Penyelidik-penyelidik, setakat ini, hanyalah mampu membahaskan tema Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara ilmu. Ini baru tahap perbahasannya sahaja yang kami mahu bawakan, belumlah lagi membongkar isu perlaksanaannya yang ternyata lebih jauh ketinggalan. Makalah ini bermatlamat untuk membahaskan isu Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, namun dikecilkan domainnya hanyalah kepada bidang Sains Matematik.

1. Pengenalan

Walaupun setakat ini ramai yang mendakwa bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa yang digunakan oleh rumpun Bangsa Melayu untuk mengkomunikasikan hal-hal berkaitan keilmuan, namun tidak banyak kalangan mereka itu yang mampu menonjolkan bukti-bukti jelas bagi menyokong dakwaan tersebut. Selalunya, kenyataan-kenyataan yang digunakan untuk menyokong dakwaan ini adalah berbentuk simpatisan, ataupun lebih baik sedikit daripada itu, menggunakan bukti-bukti hampir yang berulang-ulang kali telah dinyatakan disana-sini. Pernyataan-pernyataan sebegini selalunya membosankan kerana tiada langsung bukti-bukti baru dikeluarkan bagi memperkukuhkan dakwaan yang murni itu. Kesannya adalah, perbahasan berkenaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu masihlah berada di takuk lama, sama seperti ketika perbahasan ini dimulai mungkin sekitar 100 tahun yang lepas. Bukti-bukti yang menggunakan prasasti-prasasti Melayu katakan. Walaupun telah beratus kali dinyatakan dengan nada yang sama, bahawa tiga atau empat buah prasasti Melayu bertarikh sekitar kurun yang ke-7M ditemui di Palembang ketika zaman Sriwijaya itu menunjukkan bahawa Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmu, namun tidak pula dilangsungkan hujah bagaimana Bahasa Melayu itu dikatakan sebagai bahasa ilmu? Sebab ditempat-tempat yang serantau dan sezaman dengan Sriwijaya, contohnya Sailendra, Sanjaya, Campa, Funan, Chenla, Kemboja, Kedah, Langkasuka, Mon, Kutai dan lain-lainnya, dominasi bahasa ilmunya adalah Bahasa Sanskrit, kecuali mungkin di Funan, Chenla dan Kemboja yang juga menggunakan Bahasa Khmer dan di Campa yang juga menggunakan Bahasa Campa. Pernyataan ini disokong oleh pemerhatian bahawa bilangan prasasti dalam Bahasa Sanskrit lebih kurang sama jumlahnya dengan bilangan prasasti dalam Bahasa Khmer dan Bahasa Campa. Malah, sebagai tambahan, tidak pula dapat dikesan dengan kuantiti yang agak besar pengaruh Bahasa Melayu kepada bahasa-bahasa serantau ini, kecuali mungkin dalam Bahasa Campa, atau sebaliknya. Satu lagi perkara yang agak jelas kelemahan dalam hujah-hujah yang dinyatakan adalah ketidakupayaan penghujah untuk mengaitkan Bahasa Melayu dengan mana-mana bidang keilmuan sezamannya, apatah lagi keilmuan terkemudian daripadanya. Seperti ketika prasasti-prasasti tersebut dinyatakan sebagai bukti, tidak langsung ditunjukkan bahawa perkataan-perkataan Melayu yang tertulis pada prasasti-prasasti tersebut adalah istilah-istilah ilmu yang dipakai ketika itu. Seolah-olahnya membiarkan prasasti-prasasti itu menjelaskan dirinya sendiri. Dan, hal seperti ini sudah berlangsung amat lama, juga amat berleluasa.

Penyelidikan terhadap manuskrip Melayu juga sedemikian. Seseorang penyelidik itu seolah-olahnya sudah cukup berpuas hati dengan mengatakan bahawa wujudnya berbagai bentuk struktur keilmuan di dalam sesebuah manuskrip Melayu, seperti perubatan, kimia, kejuruteraan, peperangan, kepemimpinan, ekonomi, aritmetik, geometri, mantik, kosmologi, tatabahasa, psikologi, dan sebagainya, malah lebih jauh berhujah secara sebarangan, manuskrip-manuskrip Melayu memiliki keilmuan seperti nuklear, globalisasi, teknologi-nano, genom, teori tetali (string theory) dan lain-lainnya keilmuan yang kini-kini sifatnya. Memang amat memeranjatkan membaca penulisan dan pembentangan sebegini. Namun, kalau diteliti setiap penulisan secara khusus, yang dilakukan hanyalah pendokumentasian perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang tafsirannya setara dengan sifat-sifat keilmuan tersebut di Barat. Yang wujud hanyalah pungutan demi pungutan berupa pantun, peribahasa, ayat-ayat yang dipetik dari prasasti dan manuskrip, gambar-gambar artifak, dan lain-lain sebagainya.  Seterusnya, kalau ditanyakan soalan, bagaimanakah bentuk ilmu yang dirakamkan di dalam prasasti dan manuskrip berkenaan, penyelidik yang berkenaan akan mengatakan, “permintaan itu memerlukan masa yang agak panjang untuk membuktikannya”, “belum ada pelajar mahu mengkajinya”, “pertanyaan tersebut diluar daripada kepakaran (pengkaji)” dan lain-lain jawapan beralasan semudah itu. Padahal, beliaulah yang layak melakukannya, sebab telah memulai melakukannya dalam penulisan yang dipertanyakan itu. Lalu, kalau ditanyakan soalan yang jauh lebih terkehadapan, bagaimanakah boleh keilmuan yang dipungut tersebut dapat diperbandingkan dengan pencapaian keilmuan semasa?. Lagilah kelam-kabut jawapannya, sebabnya adalah sipemungut ini (yang mungkin sahaja mendapat gelaran kedoktoran dengan kerja-kerja sebegini) tidaklah mahir apa-apa keilmuan semasa pelbagai tamadun manusia yang bersekitar dengan Tamadun Melayu Kuno dan Klasik. Membandingkan pencapaian keilmuan Tamadun Sriwijaya dan Jawa Kuno dengan pencapaian keilmuan India, China dan Greek-Rom sekitar kurun yang ke-5M hingga kurun ke-12M katakan. Menunjukkan secara hubungan sejarah bahawa keilmuan Sriwijaya itu mengambil daripada keilmuan India lalu mempengaruhi keilmuan China sahaja ramai yang tidak mahu dan mengelak melakukannya, atas sebab-sebab bukan akademik. Inikan membandingkannya. Seterusnya, kalau ditanyakan, bagaimana ilmu kuno dan klasik Melayu ini boleh dibandingkan dengan keilmuan semasa Barat, yang kininya bermaharajalela, takkanlah keluar sepatahpun jawapan. Sebabnya, sipemungut ini tidak akan terfikir langsung bahawa, untuk membangunkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, keilmuan kuno dan klasik Melayu tadi mestilah dibandingkan juga dengan keilmuan semasa Barat kini. Tapi, selalunya, abstrak dan pengenalan penulisannya memanglah menyebut tentang menaiktarafkan keilmuan kuno dan klasik Melayu ini, sehingga setaraf keilmuan semasa Barat, namun kerja-kerja ilmiah yang dilakukannya hanyalah berbentuk pemuziuman ilmu : pungut-pungut, susun-susun, hias-hias, tayang-tayang dan puji-puji.

Inilah kedudukan penyelidikan prasasti dan manuskrip Melayu, yang sepatutnya berjaya merungkai dan memetakan pemikiran saintifik Bangsa Melayu semenjak awal, namun penyelidik-penyelidiknya tidak mahu berusaha lanjut. Kami beranggapan bahawa, persoalan utama yang ditinggalkan oleh penyelidik-penyelidik ini adalah bersebabkan ketidakpakarannya mereka didalam bidang-bidang ilmu yang dirakamkan secara tidak langsung di dalam prasasti dan manuskrip Melayu tersebut. Kepakaran mereka adalah penyelidikan terhadap prasasti dan manuskrip Melayu, bukan terhadap ilmu yang terkandung di dalam prasasti dan manuskrip Melayu. Apatah lagi mahu membuat perbandingan dengan pencapaian ilmu semasa dan terkemudian daripadanya. Tak akan tercapai dan tergapai. Ilmu yang terkandung di dalam prasasti Melayu selalunya hanyalah berbentuk istilah satu dua patah perkataan. Usaha mengumpulkannya sahaja sudah merupakan suatu bentuk kepayahan. Usaha mentafsirkannya pula memerlukan kepakaran ilmu semasa tatkala istilah itu dipahat/diukir/ditoreh pada sesuatu perantara seperti batu/logam/kulit/pelepah. Manakala, ilmu yang terakam di dalam manuskrip Melayu biasanya boleh berbentuk bab malah selalu juga keseluruhan manuskrip adalah berkenaan ilmu tertentu. Walaupun begitu, usaha membandingkannya dengan pencapaian ilmu semasa yang sekelasnya adalah sesuatu yang amat dituntut. Kosmologi al-Raniri katakan, yang ditulis sekitar kurun ke-17M, apakah pencapaiannya apabila dibandingkan dengan kemajuan ilmu kosmologi Eropah hasil nukilan Copernicus, Kepler, Galelio, Bruno dan Newton katakan? Perkara inilah yang patut diusahakan sebenarnya, dan bukanlah mengumpulkan prasasti dan manuskrip sahaja.

Kesimpulannya, kajian keilmuan Tamadun Melayu hanyalah berbentuk Kajian Pemuziuman Keilmuan Melayu. Tidak ubah seperti penyambut-penyambut tetamu di perkarangan hotel di Hawaii yang menanti kehadiran pelancong-pelancong Eropah yang berkunjung ke Hawaii. Dan, penduduk asli Hawaii adalah Bangsa Melayu/Austronesia, serumpun dengan kita semua yang sedang berseminar ini. Dalam konteks keilmuan, mahukah kita semua menjadi seperti “penyambut tetamu” hotel-hotel di Hawaii ini? Ataupun, kita semua sudah menjadi “penyambut tetamu” Hawaii ini? Tentu sekali tidak, tak tahulah kami, mungkin ada dikalangan kita yang mahu menjadi “penyambut tetamu” keilmuan semasa Barat. Jika diberi pilihan, menjadi tuan hotel yang menyambut tetamu Eropah sahaja kami tidak mahu, inikan pula menjadi penyambut tetamu! Kami mahu menjadi tuan yang membuka hotel di Eropah, yang penyambut tetamunya kalangan rang-orang Eropah dan penghuni-penghuninya semua bangsa dunia. Saya ingati kembali penghujahan saya yang sebegini. Sekitar 12 tahun yang lepas, tatkala kami menyiapkan PhD (Matematik) di University of Wales, Bangor, Wales, UK, seorang rakan kami mengatakan bahawa beliau berjanji kepada penyelia PhD beliau bahawa selepas sahaja beliau balik ke Malaysia, beliau akan meminta universiti beliau menghantar lebih banyak pelajar Master/PhD ke Universiti of Wales. Kami katakan kepadanya, lemah benar logik beliau, juga lemah jatidiri. kami katakan kepada beliau, kalau kami, kami akan katakan kepada penyelia kami, selepas kami balik ke Malaysia, kami akan menguruskan agar siswazah-siswazah dan pensyarah-pensyarah University of Wales melanjutkan pengajian Master/PhDnya di Malaysia. Mana boleh, katanya. Memanglah tak boleh kalau berfikiran seperti beliau itu, kata kami, yang selamanya hanyalah menganggap keilmuan adalah milik Eropah/Barat. Keilmuan adalah milik semua bangsa, termasuk Bangsa Melayu. Sekarang, bagaimana boleh dilakukan perkara ini? Bagaimana boleh dikembangkan keilmuan kuno dan klasik Melayu sehinggakan setaraf keilmuan semasa Barat, khususnya Sains Matematik? Inilah yang menjadi matlamat makalah ini ditulis dan dibahaskan di hadapan saudara/i disini.

2. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar Sains Matematik

Seperti yang kami katakan pada awal tadi, iaitu, tahap paling awal Bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai “bahasa ilmu”, iaitu tahap yang sentiasa salah dikenali sebagai tahap bahasa ilmu oleh ramai penyelidik, adalah tahap Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu. Dalam kes kita disini, Sains Matematik. Pada tahap ini, sebenarnya, sebaiknya Bahasa Melayu hanyalah mampu menonjolkan dirinya menerusi perkataan-perkataan asli Bahasa Melayu bagi menerjemahkan istilah-istilah Sains Matematik yang hampir keseluruhannya diambil dari buku-buku karya sarjana-sarjana Inggeris. Walaupun tidak disedari bahawa sarjana-sarjana Inggeris itu mengambil istilah daripada karya-karya Jerman, Perancis, Latin, malah Arab. Juga, ingin kami perjelaskan bahawa “asli Bahasa Melayu” itu merujuk kepada perkataan-perkataan pelbagai bahasa Asia, terutamanya Sanskrit, Tamil, Pali, Arab, Parsi, Khmer, Mon dll, yang telah diterima dengan baiknya kedalam kepustakaan Bahasa Melayu sebelum era penjajahan menyeluruh mulai 1800M, yang kemudiannya menyaksikan Bahasa Melayu menerima perkataan-perkataan Bahasa-Bahasa Eropah dengan banyaknya. Disini, bolehlah kami katakan bahawa iatilah-istilah Bahasa Melayu digunakan bagi menggantikan istilah-istilah Bahasa-Bahasa Eropah dalam bidang Sains Matematik. Contohnya, perkataan “selanjar” menggantikan perkataan “continuous”. Perkataan “buka” menggantikan perkataan “open”. Dll. Isunya adalah, adakah setiap istilah Bahasa Melayu yang digunakan untuk menggantikan istilah Bahasa-Bahasa Eropah tersebut benar-benar mampu mewakili makna awalnya? Apakah “buka” semakna dengan “open”? Ini belum pernah dibahaskan dengan teliti.

Kes yang diatas berlaku apabila wujudnya istilah Bahasa Melayu bagi menggantikan istilah Bahasa-Bahasa Eropah, walaupun maknya belum tentu sama. Bagaimana, kalau berlakunya kes yang istilah Bahasa Melayu yang mahu digunakan tidak sampai kepada makna sebenar yang mahu digantikan? “Ilmu Hisab” tidak sampai kepada makna “Mathematics” katakan. Kes inilah yang sebenarnya dijawab oleh Bahasa Inggeris tatkala dihimpit oleh istilah-istilah keilmuan Greek/Latin yang tidak kesampaian maknanya dalam Bahasa Inggeris. Apa yang dilakukan? Tindakan yang dilakukan oleh sarjana-sarjana Inggeris adalah mengambil hampir 70% (peratusan yang disebut oleh pengkajinya Dr Shaharir kepada kami) istilah keilmuan Greek/Latin dimasukkan kedalam kepustakaan Bahasa Inggeris. Maksudnya, mengInggeriskan keilmuan Greek/Latin. Istilah-istilah “atom”, “nucleus”, “electron” dan “galaxy” masih meninggalkan belangnya dalam Bahasa Inggeris. Inilah tatacara yang dilakukan untuk Bahasa Melayu juga, iaitu meMelayukan keilmuan Inggeris/Jerman/Perancis/Latin/Greek. Jadi, kita ada istilah “atom”, “nukleus”, “electron” dan “galaksi”. Nampak seolah-olahnya, pengambilan istilah ini adalah sesuatu yang tidak mampu dielakkan oleh mana-mana bahasa dunia, tatkala mereka mahu mengambil istilah-istilah yang maknanya asing. Isunya, apakah makna kepada istilah-istilah baru ini? Bolehkah makna istilah-istilah ini diterima dengan mudah oleh siswa/i Bangsa Melayu? Apakah nasibnya yang akan terjadi kepada istilah-istilah ambilan ini? Apakah akan hilang atau digantikan dengan istilah-istilah Bahasa Melayu yang ditemui/dicipta kemudian? Semua ini perlu mendapat jawapan yang teliti, jika kita mahu melihat Bahasa Melayu bertindak sebagai bahasa ilmu, lebih-lebih lagi Sains Matematik.

Kami akan menyambung perbahasan bahagian ini kemudian, selepas kami bincangkan dahulu tahap yang agak lebih mudah daripada perbahasan yang dimaksudkan, iaitu tahap penyelidikan Sejarah Sains Matematik Bangsa Melayu.

3. Sains Matematik Yang Tertanam Dalam Kepustakaan Ilmu Tamadun Melayu

Kami mahu mengkhususkan perbincangan kami disini dengan hanyalah mempertimbangkan subbidang Sains Matematik yang agak mendalam kami kaji, iaitu Aritmetik ataupun kami gelar Pembilangan. Subbidang lain yang agak mendalam juga kajian kami adalah Logik/Mantik. Lalu, kami belumlah memulai kajian dalam subbidang-subbidang yang lain, seumpama Geometri, Kalkulus, Topologi, dll. Kajian kami terhadap Pembilangan ini menyampai kepada tahap mengumpulkan semua istilah pembilangan dalam 1200 suku kaum Bangsa Melayu yang menghuni Asia Tenggara ini, seperti yang kami tulis dalam Mohammad Alinor (2006, 2009a, 2009b, 2011a & 2011b). Juga, kami telahpun sebenarnya melontarkan beberapa isu berkaitan pembilangan  Melayu.

3.1. Istilah Pinjaman/Asli

Berdasarkan 1200 bahasa Rumpun Melayu, lihat internet, kami mendapati istilah-istilah asli berikut (beserta variasinya), digunakan dalam proses membilang, iaitu:

  1. Sa/hiko/siji/indiq/tekura/moi/limbato/edah/acih/ nosiuni/katim/kayee;
  2. Dua/loro/lotu/sinuto/bulang’o/lebih/ba/debieh/ gahu/kalae/room-didi/malofo;
  3. En’tol/relu/tiga/telu/taruh/kluv/sangi/bone/kopa/nih/ra-ang’i;
  4. Enhata/mpat/wutu/fai/kude-in/ati;
  5. Lima/matoha/kutelin/runtoha;
  6. Ennoi/limasa/butanga/bata-in/rara/lomi;
  7. Enhit/pitu/tujoh/limazua/tumidingi/kumba/tomdi;
  8. Enwol/dolapan/kutus/mahi/harua/ruabutu/itupangi/ sayaq/waduq/mare/babalu/trua/maq di/karna/gatahua/ kohena/tof-kang’l/baluq;
  9. Ensiwa/sambilan/sang’a/peregi/riqi/hasera/sioanu/ trasa/pitan/gelepe/supuq/pai/kasa/gatasia/lali;
  10. Fotusa/vuta/buro/sapulu/dasa/simuheng/opod/ mopuru/tinein/yagimso/megio/luqen/hampu/sarone/yagimoi.

Kami sebenarnya tidaklah begitu teliti menyaring apakah istilah yang berevolusi daripada istilah yang lain dalam senarai diatas. Ini memerlukan kepakaran linguistik. Kami akan menyemaknya dengan lebih teliti kemudian. Kami membuat pemerhatian ini semata-mata untuk menyemak kembali dakwaan Dyen (1946 & 1952) bahawa nombor “satu”, “dua” dan “tiga” adalah ambilan daripada India. Bagi menolak hipotesis Dyen, kami perlulah membuktikan bahawa “satu”, “dua” dan “tiga” dapat bervariasi daripada perkataan-perkataan asli lainnya itu, dan bukannya daripada perkataan-perkataan Sanskrit, tamil atau pali di India? Namun, diperhatikan bahawa istilah “moi” adalah pinjaman daripada pembilangan Austroasiatik/Mon-Khmer-Tibet, lihat Mohammad Alinor (2008).

3.2. Terkaan/Konjektur Andasar 2, 5 dan 10

Shaharir (2000) pertama kali diutarakan terkaan berikut terhadap pembilangan Bangsa Melayu, iaitu sistem pembilangan/nombor bulat Melayu berasaskan lima atau sekurang-kurangnya lima bagi pembilangan/nombor bulat yang kurang daripada lapan dan berasaskan sepuluh bagi pembilangan/nombor bulat yang lebih besar daripada tujuh. Adakah terkaan ini konsisten untuk semua 1200 suku kaum Bangsa Melayu? Kelihatannya kebanyakan daripada 1200 jenis pembilangan yang bervariasi daripada “satu, dua, …, sepuluh” mematuhi terkaan ini. Itupun, bolehlah dibahagikan kepada dua, iaitu:

0, 1, 2, 3, 4, 5, 5+1, 5+2, 5+3, 5+4, 10;

0, 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 10-2, 10-1, 10;

0, 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10. (sistem ini diketahui wujud semenjak 400M)

Bagi yang tidak bervariasi daripadanya, kami memerlukan masa untuk menunjukkannya kerana memerlukan kemahiran dalam dialek sesuatu rumpun berkenaan. Kami menemui suatu dapatan yang agak menarik, iaitu adanya suku kaum Bangsa Melayu ini yang membilang berdasarkan dua nombor, iaitu:

0, 1, 2, 2+1, 2+2, 2+2+1, 2+2+2, 2+2+2+1, 2+2+2+2, 2+2+2+2+1, 2+2+2+2+2+2.

Adakah ini menunjukkan bahawa adanya suku kaum Bangsa Melayu yang amat mahir menggunakan sistem perduaan sepertimana yang digunakan dalam bidang Sains Komputer. Namun, yang lebih utama dipertanyakan, kenapakah suku-suku kaum Bangsa Melayu ini mematuhi sistem pembilangan berasaskan 2, 5 dan 10, atau yang lain lagi, kalau ditemui? Apa yang tersembunyi disebaliknya? Bolehkah ini memberikan sesuatu tafsiran yang agak baik kepada cara berfikir Bangsa Melayu berkenaan pembilangan, atau modennya aritmetik?

4. Sains Matematik Yang Dibangun Berteraskan Perkataan-Perkataan Bahasa Melayu Yang “Bernilai Sains Matematik”

Seperti yang kami katakan diakhir Bahagian 2, bahawa kami akan kembali semula kepada persoalan pengistilahan. Namun, di sini, kami tidak akan menyambung perbahasan berkenaan istilah ambilan asing ke dalam Bahasa Melayu, berkeranakan tiada makna yang seerti dengannya. Tetapi kami akan menyambung perbahasan berkenaan istilah terjemahan yang maknanya sama atau lebih kurang dengan istilah asing. Kami mahu menyebut langkah ini sebagai pematematikkan istilah-istilah Bahasa Melayu. Pada kami, ini merupakan satu daripada jalan keluar kepada persoalan mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu? Atau satu-satunya jalan keluar? Adakah ini jalan keluar yang dipilih oleh sarjana-sarjana Tamadun Greek, Rom, Islam, Eropah Abad Pertengahan dan Eropah Moden? Apakah Plato, Boethius, al-Kindi, Aquinas dan Descartes secara umumnya menuruti jalan ini? Tidak adakah jalan yang lain? Jika saudara/i mengkaji perkembangan ketamadunan dari sudut keilmuan, salah satunya cara bagaimana sesebuah tamadun manusia itu boleh keluar daripada penjajahan ilmu tamadun luar yang mempengaruhi keilmuan mereka adalah menerusi cara mempertentangkan makna konsep-konsep keilmuan yang dibawa masuk dengan makna konsep-konsep keilmuan tempatan, untuk satu-satu aspek keilmuan yang sama/selari/secaman. Namun, kaedah ini berlangsung selepas menuruti proses penerjemahan ilmu yang agak intensif. Lalu, selepas dipertentangkan makna kedua-dua konsep asing dan tempatan tersebut, sudah pastilah ditemui bahawa kedua-duanya berbeza, sebab kedua-duanya berkembang daripada dua kebudayaan yang berbeza. Maka, kemudiannya timbul persoalan, bagaimanakah pula boleh dikembangkan makna konsep tempatan tersebut, berbanding dengan makna konsep asing, sebab kedua-duanya mewakili satu perkara/benda yang lebih kurang sama? Kenapakah sesuatu yang lebih kurang sama diwakili oleh dua penjelasan yang berbeza? Bumi inilah katakan. Kenapa Arab memanggilnya “dunia”, Inggeris memanggilnya “world”, Sanskrit memanggilnya “bumi”, dan Melayu memanggilnya “banang”? Apakah makna keempat-empatnya sama, lebih kurang sama atau berbeza? Termasuk di dalam isu ini adalah persoalan yang tidak pernah terungkai oleh mana-mana ahli falsafah bahasa, termasuk Wittgenstein dan Derrida, iaitu persoalan bagaimanakah sesuatu perkataan yang mewakili sesuatu benda/perkara itu terbentuk? Bagaimanakah perkataan Inggeris “water” terbentuk dan berbeza dengan pembentukan perkataan Melayu “air”, sedangkan kedua-duanya mewakili cecair yang sama? Kita mesti boleh menjawab isu-isu ini khusus untuk Bahasa Melayu.

Jadi, khusus untuk Sains Matematik, apakah makna sebenar perkataan “titik”, “garis”, “lengkung”, “permukaan”, “luas”, “rantau”, “isipadu”, dll yang membina bidang geometri. Juga apakah makna sebenar perkataan “kosong”, “satu’, “dua”, …, yang membina bidang aritmetik. Bagaimana pula dengan istilah-istilah asli Bahasa Melayu untuk subbidang nyaya/mantik/logik? Dan berbagai permasalahan yang lain. Akhirnya, oleh kerana kami menghujahkan bahawa kaedah Pematematikkan Istilah-Istilah Melayu ini hanyalah salah satu cara daripada banyak cara mencari jalan keluar kepada kemelut mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, maka kami akan membincangkan juga kaedah yang diperbincangan seterusnya. Kami  memanggil kaedah ini sebagai Pematematikkan Alam Tabii.

5. Sains Matematik Yang Terhasil Daripada Pentafsiran Sains Matematik Terhadap Budaya Melayu

Selepas kami menyudahi perenggan di atas, saya mengambil sedikit masa untuk berfikir apakah judul ini secocok dengan tajuk makalah. Sebabnya adalah Budaya Melayu jauh lebih luas daripada hanya mempertimbangkan Bahasa Melayu. Namun, bersebabkan kami pernah menulis makalah dalam bidang ini, lihat Mohammad Alinor (2003), makanya perbincangan ini dimasukkan. Namun, sebelumnya, kami akan menyediakan pengenalan kepada subbidang ini, iaitu ringkasan terhadap falsafah teknologi. Kami langsung kepada buku Francis Lim (2008) yang sahabat kami belikan di Jakarta ini. Dari buku ini, kami menggelintar beberapa buah buku yang pernah sebelum ini kami telaah, antaranya Spengler (1920) dan Heidegger (1955/1975). Rupa-rupanya falsafah teknologi telah mulai dibicarakan di Eropah semenjak penulisan yang pertama tentangnya oleh Ernst Kapp pada 1877 bertajuk Techniphilosophie. Buku Kapp, Spengler dan Heidegger ini patut diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Menurut mereka, falsafah teknologi diwarnai oleh dua pandangan yang saling bertentangan. Pandangan pertama mengatakan bahawa teknologi adalah hasil akhir bagi suatu sains. Manakala pandangan kedua mengatakan bahawa sains adalah pengabstrakan teknologi. Kenapa saling bertentangan? Kerana pandangan pertama itu menghujahkan bahawa sains menghasilkan teknologi, manakala pandangan kedua menghujahkan bahawa teknologi menghasilkan sains. Sekarang, bagaimana kami boleh tunjukkan bahawa suatu bentuk “sains/ilmu/(penge)tahu(an)” pernah wujud di Alam Melayu? Maksudnya, suatu bentuk “pengetahuan” yang dihasilkan setelah melalui proses pengabstrakkan daripada suatu bentuk teknologi. Bagaimana ini boleh ditunjukkan? Apakah maksud “teknologi”? Teknologi adalah segala bentuk penghasilan benda/barang yang diusahakan oleh manusia untuk memudahkan kehidupannya di dunia ini. Malah, ahli-ahli falsafah seumpama Husserl, Heidegger, Sartre dan Derrida menganggap bahasa adalah teknologi yang dihasilkan oleh manusia untuk memudahkannya berkomunikasi dengan manusia yang lain, sekurang-kurangnya menerusi penciptaan huruf, perkataan dan ayat/pernyataan. Huruf yang diwakili oleh simbol/tanda (dalam Bahasa Sanskrit, perkataan “samkhya” bermaksud tanda, dan perkataan “samkhya” ini berevolusi dalam Bahasa Melayu menjadi perkataan “angka”) adalah proses pertama pengabstrakan dalam usaha merumuskan bunyi-bunyi yang keluarkan oleh manusia dalam berbahasa. Perkataan bukanlah persimbolan yang pertama sebab perkataan memiliki lebih daripada satu penyebutan, seperti “ru+mah”, apatah lagi “ba+gai+ma+na”. Jadi, mestilah wujud persimbolan yang lebih asas daripada persimbolan perkataan. Inilah yang mungkin cuba dilakukan oleh Humboldt (1832) terhadap Bahasa Tagalog, Bahasa Kepulauan New Zealand dan Bahasa Tonga (semuanya rumpun Bahasa Melayu).

Secara perbandingan, sekarang kami tanyakan, apakah persimbolan pertama yang dilakukan oleh ahli/tukang/mahir/pandai di Alam Melayu semenjak awal sejarah dahulu? Kami cumalah terfikir tentang semua teknologi/artifak/alat yang ditinggalkan oleh nenek-moyang kita. Sebabnya, rujukan terhadap teks bertulis dan lisan hanyalah menjadi rujukan sekunder kerana pengetahuan dihasilkan daripada teknologi. Maksudnya buku Kapp itu jauh lebih penting dibaca daripada buku Aristotle. Patutlah ada pepatah yang mengatakan bahawa sebenarnya manusia ini semakin dia memikirkan masa depannya, semakin dia mencari sejarah silamnya. Sejarah silamlah yang memandu kehidupan kita dimasa hadapan (ini sudah bersetuju pula dengan Historikisme/Sejarahisme dalam bidang sains pengurusan. Dalam bidang sains pengurusan, ada tiga pandangan utama iaitu Sejarahisme, Tabiiisme dan “nabiisme”/Alamatisme). Apakah yang terakam dalam kebudayaan kita semenjak awal, yang mengandungi persimbolan pertama daripada benda-benda atau perkara-perkara yang berlaku di Alam Tabii? Benda-benda di Alam Tabii inilah yang ditiru oleh cerdik-pandai kita semenjak dulu, lalu mencipta teknologi awal. Mungkin sekali pisau dicipta berdasarkan pemerhatian terhadap sembilu, jarum dicipta berdasarkan pemerhatian terhadap duri, perahu dicipta berdasarkan pemerhatian terhadap pokok kayu yang hanyut disungai, sikat dicipta berdasarkan pemerhatian terhadap jari-jari tangan yang menyisir rambut, dan sebagainya jika mahu mengeluarkan hipotesis liar. Namun, kami tidak akan membincangkan perkara berikut ini secara sebarangan. Rujukan yang digunakan adalah Dewan Bahasa dan Pustaka (1995). Jika digelintar kandungan buku ini, di dalamnya memuatkan pelbagai corak anyaman mengkuang yang diberikan nama-nama seperti mata bilis, anak ikan, beras patah, bunga api, bunga berembang, bunga atur, bunga cempaka, bunga cengkih, bunga melur, bunga mempelas, bunga tanjung, bunga teratai, buntut siput, jari kedidi, kepala gajah, kepala lalat, mata ketitie, mata punai, sisik kelah, siku keluang, tampuk jantung, tampuk manggis, tampuk pinang, tapak harimau, tapak anjing dan lain-lain. Terpulanglah kepada penyelidik botani dan zoologi kini untuk menyemak adakah bentuk sebenar tumbuhan-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang ditiru tersebut adalah sama seperti yang sebenarnya. Kepada kami, peniruan rupa-rupa tumbuhan dan haiwan yang dibuat oleh penganyam-penganyam tersebut bermaksud bahawa mereka melakukan persimbolan pertama dalam proses menghasilkan teknologi peralatan rumah, iaitu tikar. Apa yang mungkin belum dilakukan oleh pemikir-pemikir kita adalah menghasilkan pengetahuan/sains daripada teknologi tikar ini, seumpama menghasilkan mesin penganyam (kejuruteraan mesin) ataupun menganalisis kesimetrian (aljabar) corak-corak berkenaan. Dalam penyelidikan aljabar, pemodelannya mestilah dimulai dengan mengenalpasti unit asas di dalam sesuatu anyaman. Unit asas ini mungkin berbentuk katakan xxooxo (x mewakili petak berwarna dan o mewakili petak putih). Kemudiannya, buat analisis bagaimanakah unit asas ini “bergerak” bertebaran diseluruh tikar. “Bergerak” itu bermaksud pembalikan, pusingan dan penjelmaan. Tidak mengapalah kalau tidak boleh memahami ayat matematik ini. Kami sengaja membawakan contoh tikar kerana tidak banyak bangsa didunia yang menghasilkan tikar, berlainan kisahnya dengan teknologi tenunan, yang banyak bangsa didunia memilikinya. Selain kita, hanyalah beberapa bangsa di Afrika yang menganyam daun seumpama kelapa, palas dan palma untuk menghasilkan tikar. Persoalan yang bermain difikiran kami adalah, bolehkah kita mendapatkan suatu bentuk pengetahuan berdasarkan pemerhatian kita terhadap teknologi awal/pertengahan/maju yang dihasilkan oleh cerdik-pandai kita suatu masa lama dahulu?

6. Rumusan

Begitulah, kami merumuskan empat tumpuan utama penyelidikan yang patut dilakukan oleh pengkaji-pengkaji Sains Matematik yang peka terhadap peranan Bahasa Melayu dan Budaya Melayu dalam membangunkan bidang kepakarannya. Tidak pernah kami mengatakan bahawa usaha ini adalah usaha yang mudah, malah kepayahannya banyak disebabkan oleh faktor sumber rujukan dan yang lebih utama adalah faktor kekuatan pentafsiran.

Rujukan

DBP. 1995. Corak dan Motif. Kuala Lumpur : DBP.

Dyen, I. 1946. Malay Tiga “Three”. Language 22 : 131-137.

———. 1952. Malay Tiga “Three” : A Further Note. Language 28 : 465-473.

Francis Lim. 2008. Filsafat Teknologi : Don Ihde Tentang Dunia, Manusia dan Alat. Yogyakarta : Penerbit Kanisius.

Heidegger, M. 1955/1977. The Question Concerning Technology and Other Essays. New York : Harper & Row.

Humboldt, W. von. 1832/1971. Linguistic Variation and Intellectual Development. Miami : University of Miami Press.

Internet http://www.zompist.com/anes.htm

Mohammad Alinor Abdul Kadir. 2003. Pematematikkan Simpulan dan Ikatan Melayu. Kesturi 13 (1 & 2) : 37-93.

——————————————. 2006. Bangsa Melayukah Yang Mencipta Simbol 0?. Buletin FST, Jun-Disember 2006, UKM.

——————————————. 2008. Pembilangan Austroasiatik. Nota.

——————————————. 2009a. Sejarah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Matematik. MathDigest 2(2) : 37-39.

——————————————. 2009b. Kepustakaan Sains, dalam Che Husna Azhari. Sains dan Teknologi Alam Melayu. Bangi : ATMA.

——————————————. 2011a. Pembilangan dalam Rumpun Melayu. Prasidang Seminar Kebahasaan MABBIM, 22-23/3/2011, Hotel Sahid Jaya, Jakarta, Indonesia. Ms 83-89.

——————————————. 2011b. Mengupayakan Bahasa Indonesia/Melayu Sebagai Bahasa Ilmu dalam Bidang Matematik. Seminar Memperingati Hari Kelahiran Bahasa Indonesia pada 2/5/1926. FIB, UI, 4/5/2011, Jakarta, Indonesia.

Shaharir Mohd Zain. 2000. Sistem Angka Melayu Sebelum Kedatangan Islam. Laporan Cuti Sebatikal, PPSM, UKM, Bnagi.

Spengler, O. 1920. Man and Technick.

______________________________

Terima kasih penulis yang juga sahabat saya Dr. Alinor kerana memberi kebenaran menerbit semula makalah beliau di blog ini.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 196 other followers

%d bloggers like this: