Berdebat Secara Sivil

1. Di dunia ini, ada 6 billion manusia. Katakan 3 billion orang dewasa.

2. Orang dewasa melalui pelbagai pengalaman hidup. Spektrum pengalaman manusia adalah sangat luas. Sebagai seorang lelaki Islam middle-class yang tinggal di Malaysia, saya takkan faham pengalaman seorang perempuan Afrika Barat yang papa-kedana dan percaya kepada kuasa Juju. Di dunia ini ada lebih 150 negara, dan setiap negara dibahagikan kepada ratusan kawasan, dan setiap kawasan ada macam-macam ragam kehidupan manusia.

3. Tak perlu keluar dari Malaysia — di dalam pejabat atau syarikat atau taman perumahan malah di kalangan keluarga kita sendiri, ada pelbagai bentuk pengalaman. Saya pernah ke 37 buah negara; ibu saya cuma pernah keluar negara sekali sahaja ketika pergi menunaikan Haji. Saya seorang ahli perniagaan; ibu saya bertugas sebagai pembantu tadbir kerajaan selama 30 tahun sebelum bersara. Sudah tentu pengalaman saya jauh berbeza dari ibu saya, walaupun kami duduk serumah.

PENDAPAT

4. Secara semulajadi, apabila banyak pengalaman, banyaklah pendapat. Pendapat dibentuk melalui dua cara: pengalaman dan pembelajaran.

5. Pengalaman ialah apa yang kita lalui dan masuk melalui lima deria kita (dengar, lihat, rasa, sentuh dan hidu). Melalui pengalaman, kita membentuk pendapat kita. Pendapat ini mungkin berubah-ubah melalui pengalaman. Ada orang yang dahulunya suka sosialisme, kini menjadi pendokong kapitalisme. Dan sebaliknya. Ini disebabkan pengalaman itu yang merubah seseorang.

6. Pembelajaran dalam konteks ini bermaksud kajian atau penyelidikan. Penyelidikan boleh jadi dalam bentuk pembacaan, pengkuliahan, pertanyaan, perbincangan, eksperimen, pemikiran, penulisan, perdebatan, perkongsian idea, penghujahan, meditasi, dan yang setara dengannya.

7. Diulangi, ada dua jalan yang membentuk pendapat kita — pengalaman dan pembelajaran (atau penyelidikan). Saya perlu spesifik di sini, takut nanti ada orang yang tak faham akan kata, “eh sama lah dua-dua tu, bukankah kita belajar daripada pengalaman”.

8. Ada orang yang pendapatnya dibentuk semata-mata melalui pengalaman. Bagi mereka, apa yang mereka lihat dan dengar dan rasa, itu lah realiti dunia. Tak perlu baca atau mengaji atau selidik. Apa yang mereka rasa, itulah hakikat dunia mereka.

9. Golongan ini, walaupun pengalaman mereka luas, tapi sebenarnya pemikiran mereka sempit. Ini kerana, pengalaman seorang manusia, tidak akan dapat mencakup pengalaman masyarakat di tempat itu.

10. Contoh: saya tinggal di taman perumahan yang sama sejak saya lahir (27 tahun yang lalu), tapi adalah amat bodoh jika saya mengaku bahawa saya telah memahami pengalaman jiran-jiran saya di taman perumahan ini hanya kerana saya tinggal lama di sini. Ini kerana pengalaman saya terhad. Di taman ini mungkin ada orang senang, orang susah, orang kaya, orang miskin, orang terpelajar, orang tidak terpelajar, orang muda, orang tua, macam-macam orang. Mana mungkin saya tahu mengenai pengalaman mereka.

11. Samalah juga orang yang mengaku bahawa pengalaman mereka ialah segala-galanya. Mereka pergi ke Mesir dua minggu, sudah mengaku faham akan mentaliti orang Arab. Mereka ke Eropah melancong, anggap sudah faham zeitgeist orang Barat. Baru belajar degree di Amerika, sudah mengaku mereka pakar fasal selok belok negara Amerika.

12. Walhal, kalau kita duduk di Malaysia 70 tahun pun, pengalaman kita mengenai Malaysia tetap terhad. Ini kerana pengalaman kita, adalah terhad kepada lima deria milik kita seorang. Mana mungkin deria ini dapat memproses semua selok-belok sosio-politik-ekonomi Malaysia.

13. Jadi oleh sebab itulah, pendapat-pendapat yang dibentuk semata-mata melalui pengalaman, tidak boleh dipercayai. Ini kerana pengalaman seorang manusia adalah terhad.

14. Orang yang mengasaskan pendapat mereka semata-mata melalui pengalaman, akan berfikiran kolot dan tertutup. Ini kerana idea yang di luar pengalaman mereka atau yang bertentangan dengan pengalaman mereka, ditolak mentah-mentah. Ini dipanggil keras kepala.

15. Jadi, apa perlu kita lakukan?

16. Diulangi, bahawa pendapat dibentuk melalui dua proses: pengalaman dan pembelajaran (lebih tepat lagi, penyelidikan).

17. Jadi kita kena selidik. Walaupun suatu benda itu koman atau biasa (mengikut pengalaman kita), wajib kita selidik. Jangan percaya bulat-bulat pengalaman kita. Pengalaman boleh menipu.

18. Kita kena banyak membaca, terutama mengenai isu-isu penting. Barulah kita beri pendapat. Jangan semata-mata beri pendapat mengikut pengalaman. Pengalaman boleh menipu.

19. Beri pendapat itu mudah; yang membezakan pendapat kita itu bernas atau sampah, ialah sama ada pendapat kita itu boleh didokong dengan hujah atau tidak. Untuk mendokongi hujah, kita mestilah belajar atau selidiki isu tersebut, jangan hentam keromo sahaja.

20. Dan jangan dengar cakap orang sahaja. Dalam dunia ini ada ramai “pakar”. Pakar mana satu kita nak dengar?

21. Dengarlah seribu orang pakar sekalipun, tapi kita kena fikir sendiri kesimpulan kita. Pendapat kita adalah milik mutlak kita, bukan milik “pakar”.

22. Baca, bincang, soal, tanya, fikir, hujah, debat, balas — ini adalah proses-proses biasa untuk menyelidik pendapat-pendapat kita dalam satu-satu isu.

DUA PERANGKAP IDEA

23. Janganlah kita terperangkap dengan dua perangkap idea.

24. Yang pertama ialah “blind faith”. Kita percaya bulat-bulat apa yang orang kata tanpa usul periksa, dan kita pertahankan semati-mati perkara tersebut tanpa kita faham akan isu yang sebenarnya.

25. Contohnya, saya seorang pendokong ekonomi kapitalis. Saya sudah selidik dan percaya sistem kapitalis adalah yang terbaik. Dalam khutbah Jumaat yang lepas, Ustaz di masjid saya berkhutbah kata sistem kapitalis ialah rekaan Barat untuk menghancurkan umat Islam.

26. Ada antara pendengar yang mungkin berfikir “Betul apa ustaz ni kata. Sistem kapitalis ialah sistem kafir”. Ini adalah blind faith. Apa yang saya fikir? “Ustaz ni merapu benda yang dia langsung tak faham”.

27. Itu pendapat saya yang didokong oleh fakta dan hujah yang saya selidiki sendiri. Walaupun pendapat saya salah, ini adalah pendapat dan kesimpulan yang saya selidiki sendiri. Siapa tidak bersetuju, tak apa, kemukakan hujah anda.

28. Perangkap kedua ialah “wishy-washy”. Ini adalah terbalik dari “blind faith” tadi. Orang yang wishy-washy ini tak ada pendirian tetap, kerana mereka terlalu pengecut untuk memberi pendapat. Mereka sentiasa atas pagar dan berfikiran terlalu terbuka sehingga semua benda pun mereka percaya dan ikut.

29. Yang terbaik ialah di tengah-tengah. Kita memilih pihak dalam sesuatu isu (pro atau kontra) dan bersedia untuk mendokong pihak kita dengan hujah yang kuat.

30. Katakan seseorang itu pro sesuatu isu. Kemudian dia terus menyelidik. Melalui penyelidikannya, dia dapati hujah untuk kontra adalah lebih kuat. Kemudian dia menukar pendiriannya kepada kontra. Ini bukanlah wishy-washy. Ini adalah intellectual courage (keberanian intelek). Orang yang mempunyai intellectual courage sangat-sangat susah dijumpai di dunia, kerana manusia lebih suka menjaga ego mereka daripada mengaku mereka tersilap.

DEBAT

31. Apa itu debat? Debat ialah proses dimana dua pihak yang berselisih pendapat, masing-masing mengemukakan hujah-hujah mereka untuk didengari oleh pihak yang satu lagi.

32. Debat berguna apabila dijalankan dengan sivil, apabila kedua-dua bersedia untuk mendengar pihak yang lain. Tanpa syarat ini, debat menjadi tidak berguna selain daripada pertunjukan lawak jenaka dan sorak sorai sahaja. Nilai intelek debat itu ialah kosong. Yang terhasil cuma perasaan syok sendiri.

33. Kebanyakan debat adalah kategori ini. Orang politik berdebat dan mencabar orang berdebat bukan untuk mendengar hujah, tetapi untuk menunjuk pandai dan menunjuk hero depan penyokong. Maka, debat itu menjadi debat kosong. Contohnya ialah debat Anwar Ibrahim dan Shabery Cheek dulu. Orang UMNO kata Shabery menang, orang PR kata Anwar menang. Masing-masing sorak, sampai debat yang dihebahkan media massa, sudah jadi shouting match. Buang masa saya saja, baik saya tengok rancangan masak-masak.

34. Objektif debat ialah untuk mencari kebenaran, dan untuk menyelidik hujah-hujah pihak lawan. Kedua-dua objektif ini tak tercapai apabila debat dijalankan dalam keadaan tidak sivil.

35. Model debat ialah perbincangan ulama-ulama silam berbeda mazhab. Walaupun perbincangan mereka tidak dipanggil debat (mungkin digelar muzakarah), tapi apa mereka lakukan sama seperti debat. Pihak A kemukakan hujah mereka. Pihak B menyangkal pihak A dan kemukakan hujah mereka pula. Pihak A pula menyangkal hujah pihak B, dan seterusnya. Kemudian, selepas tamat, mereka bersalam-salaman, minum teh bersama, dan sembahyang jemaah dalam satu saf dalam keadaan penuh hormat antara satu sama lain.

36. Mungkin agak mustahil untuk debat sivil diadakan di peringkat politik tertinggi di Malaysia. Jadi tak perlulah debat diadakan untuk mereka. Tapi golongan lain seperti para pemuda, para intelektual, para aktivis di kedua-dua pihak boleh berdebat dengan sihat tanpa perlu retorik-retorik melampau dan sorak sorai penyokong umpama pasar malam.

37. Untuk debat yang sivil, kedua-dua pihak perlu membentangkan HUJAH. Bukannya retorik, atau memanipulasi emosi, atau menggunakan pengalaman atau anecdote peribadi. Apa yang bukan hujah, tidak layak masuk dalam debat. Ia cuma sesuai untuk borak kedai kopi sahaja.

38. Quality of discourse (kualiti wacana) di negara kita masih rendah; wacana kita masih dipengaruhi emosi-emosi dan retorik-retorik basi. Debat menggunakan hujah masih dianggap asing. Kita debat untuk menang, bukan debat untuk buka minda. Debat dianggap kerja orang pandai bercakap, bukan kerja orang rajin menyelidik. Ya, retorik itu penting, tapi tanpa hujah, retorik kosong ialah kerja sia-sia.

39. Walaupun kita berpengalaman banyak, adalah wajib untuk kita selidik pendapat kita. Tun Dr Mahathir dan Lee Kuan Yew adalah dua tokoh yang banyak pengalaman kerana mereka banyak berjalan ke seluruh dunia berjumpa bermacam jenis manusia. Tapi mereka tetap rajin membaca dan menyelidik sesuatu isu dengan mendalam sebelum mengemukakan pendapat mereka dalam isu tersebut.

40. Kesimpulannya: 1) kita kena banyak membaca dan menyelidik sesuatu isu dengan mendalam, 2) kita kena biasakan diri kita mengemukakan hujah, bukan berdebat kosong, 3) kita harus berlapang dada dan berfikiran terbuka mendengar pelbagai jenis pendapat, kerana kebenaran bukanlah dimonopoli sesiapa.

6 Responses to Berdebat Secara Sivil

  1. hafiz says:

    fuh. menarik. terbaik punya entry. skang baru aku nampak clear skit pasal memberi pendapat. pengalaman dan pembelajaran. tapi aku nk tanya skit. what if pengalaman kita dapat tu tidak dapat dicari melalui pembelajaran?

  2. Yumita says:

    this is cool. well versed. pengalaman mmg tak dpt drpd pembelajaran samada di sekolah,kolej atau tahfiz en. hafiz sebaliknya kite belajar melalui perkara yg telah berlaku dlm hidup kita atau org lain yg juga disebut pengalaman a.k.a cerita kehidupan.
    Sharing is caring,LOL.

  3. nmn says:

    item no. 40 : yes, 3 good plan of action indeed.

    unfortunately, these are the very 3 things people fail to do most of the time. because it takes too much effort and some people just want it easy.

    but hopefully, insya allah, the time will come when msians (esp politicians) can sit down and have a heated discourse, and pray jamaah together in masjid putrajaya afterwards…

  4. hafiz says:

    thanx yumita..

  5. suhaimiramly says:

    Sdr. Hafiz,
    Pengalaman mmg tak boleh didapati dari mengaji, kerana definisi pengalaman itu sendiri ialah sesuatu yang kita lalui.

    Saya tekankan bahawa pengalaman bukanlah segala-galanya. Barangsiapa yang membentuk pendapat2nya melalui pengalaman semata-mata, bukan pengajian, adalah tidak betul. rujuk point 8-22.

    Entah lah di Malaysia ni, orang lebih suka pentingkan pengalaman daripada pengajian. Alasan mereka “pengalaman ialah guru yang paling bernilai”. Siapa mula merapu macam ni, nanti malas berguru dengan guru sebenar, atau malas nak membaca. Semua nak harapkan pengalaman dia betul.

    nmn, sebagai seorang realist, saya rasa perkara tu takkan berlaku sampai bila2. kematangan masyarakat nak dibentuk ambil masa at least 50 tahun. lepas kita mati nanti kut, barulah masyarakat kita sampai peringkat tu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: