Stres

1. Dalam kehidupan ini, kita akan mengalami pelbagai masalah. Selagi mana kita menghirup oksigen, selagi itulah masalah akan melanda. Seorang yang bijaksana pernah berkata, ada dua golongan sahaja yang tidak akan mengalami masalah iaitu orang gila dan orang yang mati dalam Iman.

2. Orang yang menghadapi masalah, akan mengalami tekanan (stres). Ada orang yang mengalami stres bila melalui masalah yang sangat kecil. Saya pernah mengenali seorang rakan yang terlalu lemah semangat dan cepat cuak, sehinggakan pada suatu hari, dia pernah mengalami kemurungan dan bermuka masam sepanjang hari. Bila saya bertanya kenapa, dia pun menceritakan kepada saya bahawa pada pagi itu ada seorang pelanggan yang telefon dia dan marah-marah di dalam telefon. Saya tergelak di dalam hati — haihh, kena marah dalam telefon pun sampai rasa stres sepanjang hari? Lembik sungguh, hehe.

3. Ada orang yang sudah biasa dengan stres sehinggakan kalau dia dapat tahu mengenai masalah besar sekalipun, dia tetap berfikiran tenang, rasional dan tidak gelabah. Selalunya untuk capai tahap seperti ini perlukan pengalaman yang banyak dalam hidup.

4. Majoriti manusia mengalami stres setiap hari, atau sekurang-kurangnya beberapa hari setiap minggu. Punca stres ini termasuklah masalah-masalah yang dihadapi di tempat kerja dan di rumah.

5. Cara kita menguruskan stres menentukan kualiti hidup kita. Orang yang tidak menguruskan stres dengan baik, akan bersikap negatif, menjadi seorang yang bermuka masam, bersifat paranoid, bersikap rendah diri, dan berisiko mengalami penyakit darah tinggi.

6. Sebaliknya, mereka yang menguruskan stres dengan baik, akan bersikap positif, ceria, selalu senyum, peramah, pemurah, rajin menolong, dan berkeyakinan.

CARA SALAH MENGURUSKAN STRES

7. Banyak orang yang menganggap stres sebagai suatu yang semulajadi dan tidak boleh dielak (inevitable) jadi mereka tidak pernah fikir untuk menguruskan stres mereka. Mereka berfikir seperti ini: “Ah mampus lah, tiap-tiap hari pun kena macam ni, lama-lama biasa lah tu”.

8. Mereka cenderung membiarkan tekanan terbuku di dalam hati. Mereka membiarkan segala jenis perasaan negatif berkumpul dalam hati, sehingga terbentuk perasaan dendam kesumat dan benci.

9. Mereka juga cenderung melepaskan geram mereka dalam sesi umpat-mengumpat. Majoriti sesi umpat-mengumpat berlaku di pejabat kerajaan dan di kalangan kaum wanita.

10. Mereka juga cenderung untuk melepaskan geram mereka kepada ahli keluarga (suami, isteri, anak-anak, ibu bapa) kononnya mereka tak memahami kerja mereka yang sentiasa sibuk dan sentiasa diselubungi stres. Yang ini paling teruk sekali. Mana-mana ibu bapa yang membawa balik stres tempat kerja ke rumah, dan memarahi dengan teruk anak-anak yang membuat kesilapan kecil, awas, anda mendidik anak-anak anda dengan perangai yang buruk dan mungkin perangai buruk itu akan jatuh kepada anak-anak anda.

11. Kesemua yang disebutkan di atas (8, 9, 10) adalah perkara-perkara yang biasa dibuat apabila mengalami stres, namun kesemua perkara tersebut jika dibuat berterusan akan menyebabkan tekanan perasaan yang dahsyat dan mungkin membawa kepada penyakit mental dan fizikal.

12. “eleh, ko cakap senang la…ko tau tak aku kerja 14 jam sehari, dengan boss aku yang selalu marah2…co-worker pun teruk…pelanggan pun selalu tengking-tengking aku…family pun jenis tak paham…mana tak tensen woi…tiap2 hari aku pegi kerja rasa macam sakit otak kau tau…tapi aku terpaksa jugak kerja kat sini…aku ni bukan ada kelulusan tinggi nak cari kerja merata…”

13. Jika anda berkata kepada saya seperti di atas, jawapan saya senang sahaja: PADAN MUKA. Ini adalah respon paling sesuai kepada manusia-manusia yang miserable seperti anda, yang langsung tidak mahu mengawal nasib anda sendiri. Manusia diciptakan dengan akal, dan antara tujuan utama akal kita diberikan ialah untuk mengawal nasib kita (control our own destiny).

CARA MENGURUSKAN STRES YANG BETUL

14. Jika anda mengalami stres berterusan namun anda tidak mahu mengalah dan “berserah kepada takdir” (frasa yang selalu digunakan oleh mereka yang pasrah dan tidak faham hakikat takdir yang sebenar), anda boleh berusaha untuk mengubah diri dan nasib anda. Allah tidak akan membantu sesuatu golongan melainkan mereka sendiri yang berusaha membantu nasib mereka.

15. Cara pertama yang anda boleh lakukan ialah berkomunikasi secara positif dengan orang yang rapat dengan anda (keluarga, sahabat, kaunselor, ustaz/ustazah, atau orang-orang berpengalaman yang boleh dipercayai). Ini jauh lebih baik daripada mengumpat, mengutuk, mengondem dan menyumpah seranah orang yang menyebabkan stres kepada anda.

16. Cara kedua ialah mengambil masa untuk membuat aktiviti-aktiviti yang meriangkan anda (de-stressor). Anda tak perlu mengambil masa yang lama, kadangkala bersiar-siar selama 15 minit sambil melihat gelagat manusia pun boleh mengurangkan tahap stres anda. Anda juga boleh menyibukkan diri dengan hobi seperti membaca, menonton TV, membuat kek cawan, dan sebagainya.

17. Cara ketiga ialah memotong punca stres utama anda. Jika 99% daripada stres harian anda disebabkan oleh boss yang celaka, mungkin anda perlu berhenti kerja. Jika anda bergaduh setiap hari selama bertahun-tahun dengan pasangan anda, sehinggakan pelbagai cara dah dicuba dan semua ikhtiar telah gagal, mungkin jalan terbaik ialah berpisah. Untuk mengambil langkah-langkah ini, anda perlu berfikir panjang dan tidak terburu-buru, kerana silap langkah, buruk padahnya.

18. Cara keempat ialah mengadu kepada Allah. Setiap kesusahan yang berlaku ke atas diri kita adalah satu bentuk ujian daripada Allah. Dan sepertimana ujian-ujian yang lain, ada respon yang betul dan ada respon yang salah. Jika kita berpaling kepada Allah setiap kali berlakunya masalah, bermakna kita memberi respon yang betul, dan harapnya kita akan lulus ujian tersebut. Doa yang boleh dibaca apabila masalah-masalah menjadi berat ialah Hasbiyallah (cukuplah Allah bagiku) atau kalau nak panjang sikit, bacalah doa dari Surah Al-Baqarah ayat ke-286, yang maksudnya:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami, dan beri Penolong kami oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir” (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman).

19. Apa jua tindakan yang anda akan ambil, jangan sekali-kali berniat untuk menyakiti orang lain. Jangan disebabkan stres anda, orang lain yang menjadi mangsa. Jika ini berlaku, anda telah menjangkitkan stres anda kepada orang lain, dan menyebabkan dunia ini semakin teruk. Anda boleh menjadikan dunia ini lebih baik dengan berfikiran positif dan menguruskan stres anda dengan baik.

20. Semoga kita semua dapat menguruskan stres kita dengan baik, dan semoga tahap stres dalam hidup kita akan berkurangan.

2 Responses to Stres

  1. hafiz says:

    Fuhh. artikel ko dtg mmg tepat pada masanya. ade la skit panduan aku nk handle stress aku skang nih. hari2 dok mengadap mat salleh yg hanya tahu memandang rendah keupayaan malaysian bwat kerja mmg sgt stressful. as a result, aku membenci semua mat salleh yg ada dlm kompeni aku kerja ni. hehe. ohh negative sungguh…

  2. Yus Rezal says:

    Nasib baik aku tak kena PADAN MUKA tu ..hah hah hah. sungguh de-stress full lah blog ko nih bal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: